Tapak arkeologi Gordion di Ankara, ibu kota Türkiye kini termasuk dalam ‘Senarai Warisan Dunia UNESCO’. Penyenaraian ini didaftarkan pada 18 September lalu dan ini bermakna Gordion adalah tapak warisan ke- 20 yang dimasukkan dalam senarai dari Türkiye.
Konvensyen Warisan Dunia UNESCO menyifatkan bandar purba Gordion sebagai ‘sebuah penempatan pelbagai lapisan yang merangkumi tinggalan kota purba Frigia iaitu kerajaan bebas Zaman Besi’.
Jelas UNESCO, penggalian dan penyelidikan arkeologi di tapak berkenaan memberi pendedahan mengenai khazanah tinggalan yang mendokumentasikan teknik pembinaan, susunan ruang, struktur pertahanan dan amalan pengebumian yang menggambarkan perihal budaya dan ekonomi masyarakat Frigia.
Bandar purba Gordion yang terletak di daerah Polatlı di Ankara ini adalah bukti luar biasa kepelbagaian khazanah tamadun yang meninggalkan jejak mereka di tanah Anatolia.
Bandar berkenaan yang memberikan penjelasan mengenai sejarah Anatolia dengan nilai sejagatnya yang luar biasa adalah titik pertembungan penting antara Timur dan Barat.
Penempatan di tapak Gordion menyimpan bukti dari Zaman Gangsa Awal (sekitar 2500 SM), di kawasan bukit berhampiran Yassıhöyük yang terletak bersebelahan dengan tapak tersebut.
Penempatan manusia yang tidak terganggu di dalam dan sekitar bandar purba selama 4,500 tahun itu menjadikan Gordion antara kawasan jarang ditemui di dunia yang dikenali sebagai sejarah penempatan berterusan yang paling lama.
Tarikan tapak berkenaan yang membabitkan pelbagai tamadun disebabkan beberapa faktor. Ini termasuk kedudukannya yang strategik di sepanjang laluan perdagangan penting di seluruh Anatolia, bekalan air yang mencukupi dari Sungai Sangarios (kini dikenali sebagai Sakarya) dan tanah subur meluas yang sesuai untuk pertanian.
Sekilas Tentang Sejarah Gordion
Gordion paling dikenali sebagai ibu kota politik dan budaya Frigia yang membangun dengan keruntuhan Empayar Hittite pada abad ke-12 SM. Justeru, ia adalah tapak penting untuk mendapatkan gambaran mengenai tamadun ini.
Masyarakat Frigia mendiami wilayah yang luas di tanah Anatolia yang ketika ini terdiri daripada Ankara, Afyonkarahisar, Eskişehir dan Kütahya. Lembah Frigia adalah landskap luas yang berbeza berbanding kawasan seumpamanya yang lain di dunia, dengan serpihan batu dan runtuhan purba yang memiliki jejak tamadun masyarakat Frigia.
Menerusi Laluan Frigia, pengunjung kini boleh menjejaki tinggalan masyarakat Frigia di tanah air mereka yang bersejarah.
Struktur monumental zaman Frigia meninggalkan kesan yang paling penting pada landskap di Gordion. Bangunan kubu masyarakat Frigia Awal dan kubur golongan penguasa kota meninggalkan kesan sehingga ke hari ini, yang pada awalnya bermaksud untuk menunjukkan kuasa dan kewibawaan golongan elit Frigia.
Tapak berkenaan dahulunya di bawah pemerintahan Raja Midas yang menurut mitologi, disumpah dengan ‘sentuhan emas’ pada zaman berkenaan. Great Tumulus atau makam Raja Midas di Gordion adalah kubur ketiga terbesar dan ruang kubur di dalamnya adalah binaan kayu tertua di dunia.
Gordion juga dikaitkan secara langsung dengan episod Gordian Knot yang diceritakan oleh ramai ahli sejarah purba. Legenda menyatakan bahawa simpulan berkenaan dipercayai akan terungkai hanya oleh penakluk masa hadapan di Asia. Oleh itu, bukanlah satu kebetulan apabila Gordion dikunjungi oleh Alexander the Great yang cuba memotong simpulan itu dengan pedangnya.
Meskipun kubu dan bangunan monumental yang dipelihara dengan baik di sekitar Gordion menawarkan pengembaraan sejarah Frigia yang hebat pada hari ini, Muzium Gordion di tapak itu juga mengandungi serpihan yang menakjubkan daripada penggalian berkenaan.
Ia menunjukkan paparan kronologi yang mewakili setiap zaman dengan contoh yang memiliki ciri tersendiri.
Antara artifak tersebut adalah tembikar buatan tangan daripada Zaman Besi Awal, peralatan besi daripada zaman Frigia Awal serta tembikar dan barangan purba yang diimport. Pengunjung juga boleh melihat sampel meterai dan syiling yang ditemui di Gordion.
Berikut ada 20 tapak warisan Türkiye dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO:
1. Taman Negara Göreme dan Tapak Batu-batuan Cappadocia
2. Masjid Besar dan Hospital Divriği
3. Kawasan Bersejarah di Istanbul
4. Hattusha: Ibu Kota Hittite
5. Nemrut Dağ
6. Hierapolis-Pamukkale
7. Xanthos-Letoon
8. Bandar Safranbolu
9. Tapak Arkeologi Troy
10. Masjid Selimiye dan Kompleks Sosial
T11. apak Neolitik Çatalhöyük
12. Bursa dan Cumalıkızık: Kelahiran Empayar Uthmaniyyah
13. Pergamon dan Landskap Budaya Pelbagai Lapisan
14. Kubu Diyarbakır dan Landskap Budaya Taman Hevsel
15. Ephesus
16. Tapak Arkeologi Ani
17. Aphrodisias
18. Göbekli Tepe
19. Bukit Arslantepe
20. Gordion
21. Masjid Kayu Hypostyle Zaman Pertengahan Anatolia - Getaran, 1 Oktober 2023